Siapakah beliau?
Kenali tokoh ini:
Beliau adalah Syeikh Muhammad Muhammad Sayyid Hasanin Jibril ataupun
lebih dikenali dengan nama Sheikh Jibril. Dilahirkan di daerah
Qalyubiyah, Mesir. Berasal daripada "keluarga Al-Quran" kerana ayahnya
serta adik-beradiknya kesemua mereka menghafaz Al-Quran. Keluarga mereka
bukan sahaja terkenal dengan kebolehan menghafaz Al-Quran dengan baik
bahkan mereka juga mempunyai suara bacaan Al-Quran yang sangat fasih
dan merdu. Untuk mendengar bacaan Sheikh Jibril, silalah lawati laman
web Jebril.com.
KENALI IMAM AL GHAZALI
Biodata
Beliau
dikenali dengan panggilan Al-Ghazali sempena nama kampung tempat kelahirannya
iaitu Ghazzalah yang terletak di pinggir Bandar Tus dalam Wilayah Khurasan di
Iran. Selain itu, Al-Ghazali juga bermaksud benang kerana bapanya bekerja
sebagai pemintal bulu kambing. Beliau juga digelar Abu Hamad kerana salah
seorang daripada anaknya bernama Hamad. Beliau juga mempunyai gelaran lain
iaitu Hujjah Al-Islam kerana kepetahan, kecekapan, kemasyuran dan merupakan
seorang tokoh pemikiran Islam yang agung. Karya-karya beliau banyak
diterjemahkan dalam pelbagai bahasa.
Bapanya
bekerja sebagai pemintal bulu kambing yang disebut Ghazzal dan seorang yang
miskin dan beramal soleh. Selain itu, bapanya sering mendampingi ulama sufi
kerana minatnya yang mendalam dalam ilmu agama. Bapanya meninggal ketika usia
Al-Ghazali masih kecil. Tanggal 14 Jamadil Akhir 505 Hijrah bersamaan 1111 Masihi,
Imam Al-Ghazali telah kembali ke rahmatullah. Beliau dikebumikan di Perkuburan
Thobiran, Iran.
Latar Belakang Pendidikan
Imam
Al-Ghazali merupakan seorang yang berpegang teguh kepada syariat Allah S.W.T.
Beliau telah dianugerahkan kebijaksanaan dan mempunyai daya ingatan yang sangat
kuat. Anugerah yang dimikinya ini tidak disia-siakannya dan beliau sangat tekun
belajar serta bijak berhujah.
Imam
Al-Ghazali mendapat pendidikan awal daripada sahabat bapanya yang merupakan
seorang guru dan ahli Tasawwuf di Tus. Kemudian beliau telah melanjutkan
pelajarannya di sekolah yang didirikan oleh Perdana Menteri Nizam Muluk di Tus.
Imam Al-Ghazali telah belajar membaca, menulis, menghafaz al-Quran, nahu,
bahasa arab dan fekah. Dari Tus beliau terus melanjutkan pelajarannya ke
Naisabur. Antara guru yang banyak mencurahkan ilmu kepadanya termasuklah Abu
Al-Maali dan Dhiauddin Al-Juwaini yang terkenal dengan panggilan Imam Harmain
yang mengajarnya tentang ilmu fekah, ilmu kalam dan falsafah.
Kemudian,
beliau terus mendalami ilmu Usul mengikut Asya’irah. Semasa di Naisabur beliau
turut mempelajari teori dan amali tasawwuf daripada ulamak fekah dan ketua ahli
sufi iaitu Al-Farmadi, Al-Waraq dan Abu Bakar Al-Tusi. Selepas kematian gurunya
Al-Farmadi dan Imam Al-Harmain pada tahun 478 Hijrah, Imam Al-Ghazali berhijrah
ke Ma’askar. Beliau telah dijemput oleh Nizam Muluk, Perdana Menteri Khalifah
Abbasiyah di Baghdad untuk memberi pengajaran dan sebagai penasihat Agung. Imam Al-Ghazali juga telah dilantik sebagai tenaga
Pengajar Kanan di Universiti Nizamiah.
Sumbangan Tokoh
Imam
Al-Ghazali adalah merupakan seorang ahli fikir Islam dan tokoh pendidikan yang
telah meninggalkan banyak jasa yang dapat dinilai melalui hasil-hasil karyanya.
Beberapa hasil karya beliau telah diterjemah ke dalam pelbagai bahasa Eropah
untuk dijadikan bahan rujukan kepada penuntut-penuntut di pusat-pusat pengajian
tinggi. Segala hasil tulisan beliau telah banyak mempengaruhi ahli fikir Islam
selepasnya, seperti Jalaluddin ar-Rumi, Sheikh Al-Ashraf, Ibnu Rusyd dan juga
Shah Waliyullah. Kebanyakkan daripada
hasil karya Imam Al-Ghazali adalah berbentuk falsafah. Kebanyakan orientalis
telah mengganggap beliau sebagai seorang ahli falsafah. Di samping itu, beliau
juga telah mengklasifikasikan falsafah kepada enam elemen yang utama iaitu
merangkumi ilmu matematik, fizik, metafizik (ketuhanan), politik, logik dan
etika (akhlak).
Antara
hasil karya beliau yang berpengaruh ialah Ihya’ Ulumiddin yang merangkumi ilmu
akidah, fikah, falsafah, akhlak dan tasawwuf. Tahafut al-Falasifah adalah berkenaan pendiriannya terhadap
falsafah yang bertentangan dengan akidah Islam. Munqidz Min al-Dhalal pula
menyatakan bahawa para filosufi yang menganut pelbagai mazhab serta membawa
pemikiran yang bercanggah dengan ilmu yang batil. Imam Al-Ghazali telah menyatakan
bahawa kekufuran terbahagi kepada tiga golongan iaitu Golongan ad-Dahriyyah (
Aties ), Golongan al-Tobi’iyyah ( Naturalis ) dan Golongan al- Illahiyyah (
Theis ).
Antara
karya lain yang juga berpengaruh dan menjadi hasil rujukan ialah Miskat
al-Anwar, Maqasid al-Falasifah, Majalis al-Ghazali, Al-Mustazhari,
Mizanul-amal, Hidayah Al-Salikin, Minhaj al-Abidin, dan lain-lain lagi. Selain
itu, beliau juga amat terkenal dalam ilmu mantik yang dapat membezakan antara
ilmu yang mendorong kepada kebenaran dan keyakinan dengan ilmu yang mendorong
kepada kesamaran dan kesalahan.
Idea-idea
dan saranan-saranan Imam Al-Ghazali telah diguna pakai dalam sistem pendidikan
masa kini khususnya di Malaysia terutamanya bidang Pendidikan Islam dan Fardhu
Ain. Kitab Ihya’ Ulumiddin karya Imam Al-Ghazali banyak memperkatakan tentang
tujuan dan faktor-faktor pendidikan. Menurut beliau matlamat atau tujuan
pendidikan yang unggul ialah kelarasannya dengan objektif kejadian manusia
iaitu penguasaan ilmu tentang Allah. Tujuan murid mempelajari segala ilmu pada
masa kini adalah untuk kesempurnaan dan keutamaan jiwa (Al-Ghazali)(dalam Hamid
Fahmy Zarkasyi, 1990). Oleh itu tujuan pendidikan ialah sebagai pendekatan diri
kepada Allah dan membentuk manusia yang berakhlak mulia.






No comments:
Post a Comment