Allah berfirman bermaksud: Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.(Surah al-Anbiya, ayat 35)
Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita
Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa.
Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdirnya.
Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.
Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya
Dan ingatlah, andaikata kita diduga, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika ditimpa dugaan?
Demikianlah, mereka yang tinggi nilai taqwa dan keimananya, tidak mengeluh apabila ditimpa dugaan. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila ditimpa dugaan kita mudah sangka buruk dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan dugaan kepada kita.
Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak lihati kita, ditimpa dugaan menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa kita ditimpa dugaan itu….



